Tuesday, April 3, 2007

Ajaran Bahtera Noh

'Bahtera Noh' tidak jadi belayar, 'nabinya' dah mati
30-03-2007 02:34:53 PM
Oleh LOONG MENG YEE

KLANG: Sebuah "bahtera" di kawasan terpencil dekat sini tidak pernah belayar di sebarang lautan tetapi berlagak ala "bahtera Noh" yang bakal menyelamatkan pengikut satu ajaran sesat di akhirat nanti.


Tidak jadi belayar di tengah bah di Klang, "bahtera Noh" kini terbiar di tengah semak selepas "nabi" ajaran ini meninggal dunia dan pergerakannya diharamkan Jais . (foto atas dan bawah The Star oleh K. K. Sham)

Struktur besar itu, dibina oleh pengikut arwah Sulaiman Mohd Said yang pernah meramal banjir besar bakal menenggelamkan daerah ini, kini akan dimusnahkan oleh kerajaan Selangor.

"Ya, bangunan itu akan dimusnahkan. Arahan meruntuhkannya telah diberikan kepada Pejabat Tanah Klang," kata pengerusi jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal Islam, Datuk Abdul Rahman Palil.

Binaan itu yang menjadi tempat pergerakan ajaran itu dibina pada 1990-an dengan model seakan-akan sebuah bahtera kini sudah rosak di sana-sini.

Sulaiman meyakinkan pengikut-pengikutny a bahawa apabila banjir yang diramalkan itu tiba, mereka yang terpilih akan diselamatkan bersamanya dengan "bahtera" tersebut.


"Bahtera Noh" yang kelihatan seperti satu deretan rumah teres untuk menempatkan pengikut ajaran "bahtera Noh" .

Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk meruntuhkan bangunan itu Ogos lepas untuk menghilangkan saki-baki ajaran Sulaiman atau dikenali juga "Ajaran Bahtera Noh".

Sumber-sumber di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberitahu, Sulaiman tidak boleh membaca al-Quran dan tidak pernah mendapat pendidikan rasmi dalam agama.

Selain mendakwa binaannya itu ibarat bahtera Noh yang boleh menyelamatkan manusia, ketua ajaran ini juga mendakwa dirinya jelmaan Nabi Isa.

Pergerakan ini memujuk anggota-anggota keluarga pengikutnya agar berpindah ke dalam "bahtera" tersebut sebagai "kapal induk."

Jais yang memantau ajaran itu sejak awal telah mengharamkannya pada awal 1990-an.

Dalam pemeriksaan The Star, binaan yang terletak di Meru Barat itu kelihatan seperti satu deretan rumah teres, termasuk sebuah surau, dua menara ala tiang kapal dan terdapat kalimat-kalimat suci al-Quran pada dindingnya,

Kawasan itu sudah tidak didiami orang walapun pintu masuk utamanya berkunci dan hanya dikawal oleh dua ekor angsa.

Sulaiman dikatakan mengasaskan pergerakan itu pada 1989 dengan mendaftarkannya sebagai sebuah syarikat perniagaan dengan modal RM2.5 juta dan berangan-angan menjadikannya usaha niaga Islam yang terkenal serata dunia.

No comments: